95% Suci, 5% Liar

Keluar makan tengahari : 12.35pm
Balik makan tengahari : 2.34pm

Dan hari ini bukan hari Jumaat.

Masuk pejabat dengan muka tak bersalah dan tergelak-gelak, kadang-kadang, seronok juga langgar peraturan.

Iyalah. Kerja sudah macam kuli batak. Dimaki, dijerit, disindir, diperli. Semua yang sampai pada tangan, semuanya nak cepat, semuanya nak hari ini juga. Nak layan karenah klien yang melemaskan dan karenah politik rakan sekerja yang menjengkelkan.

Dulu, sebelum pukul 8 aku dah melekat depan komputer. Balik pun selalu lambat. Paling cepat pun 6.15pm. Tapi, sekarang, aku swap card ngam-ngam 8.30am. Balik pun tepat-tepat 5.30pm. Kalau ada kerja yang betul-betul urgent dan penting tahap naga merkuri, barulah aku balik lambat sikit.

Dengan keadaan ekonomi suku pertama 2009 yang menguncup ke 6.2%, paling teruk sejak krisis ekonomi Asia 1997-1998 dan berkemungkinan sama untuk suku kedua 2009, orang besar pejabat aku tak punya pilihan lain selain daripada jaga hati pekerja. Takut pekerja letak jawatan sebab sudah ramai yang angkat kaki. Dan sangat susah nak cari pengganti.

Sebanyak mana aku malas nak pergi kerja serta tahap kebosanan yang sudah melangit hingga ke supernova, sebanyak itulah aku sayangkan tempat ini. Tempat yang berjaya bentuk aku jadi seorang dewasa.

Dari seorang yang mudah kecil hati bila ditegur, jadi seorang yang terbuka untuk sebarang kritikan. Dari pendiam kepada banyak cakap. Dari serius ke relaks. Dan, begitu berlonggok-longgok ilmu yang aku kutip setiap hari hingga tak tercukup tangan nan dua ini.

Mungkin, kalau aku tinggalkan pejabat ini, dalam empat atau lima tahun lagi. Dan, mungkin, kalau aku tinggalkan tempat ini, aku akan cuba berenang dalam bidang jenis lain.

Tapi, buat masa sekarang, aku mahu berseronok-seronok sambil belajar di sini. Melanggar peraturan, kemudian dibela oleh bos depan pengurus sumber manusia. Dibuli teman sekerja dari jabatan lain, kemudian bos tembak mereka dengan e-mel sarkastik, yang dijamin oleh Lima Brothers, sangat pedas menangis.

Inilah untungnya jadi budak perempuan berbaju kurung, bertudung dengan muka yang sangat suci. Semua orang nak bela. Semua orang nak back up. Pantanglah kena dera sikit, pasti ada saja yang sukarela datang nak selamatkan.

Jadi, ada terfikir nak pakai tudung tak?

No comments:

Post a Comment