Menidakkan Dan Tidak Bersyukur

aku menulis di depan televisi yang sedang cabuh membicarakan virus selesema babi dengan seekor lalat durjana berterbangan bebas dan ria bahagia, mengusik pandangan mata empat aku dari terus tunduk tegak 90 darjah ke skrin komputer riba.


aku benci lalat.
aku benci bunyinya.
aku benci matanya.
aku benci kakinya.
aku benci dua sayap kepunyaannya.


aku benci dia bisa terbang melayang ke mana saja.
ke lumpur penuh kumbahan, ke sisa makanan di bawah kerusi, ke bisul bernanah di kaki anjing, atau ke sirlion steak panas lengkap dengan cendawan butang dan sos lada hitam.


tangan kanan aku rayapkan ke belakang badan aku. aku letakkannya di atas kepak yang menghubungkan tangan dan badan aku, yang semakin hari semakin nyata bentuk dan kerasnya disebabkan berat badan yang semakin menghilang.


aku pejamkan mata.
doa kuat-kuat dalam hati.


"oh Tuhan! aku mahu sayap. dan aku tidak kisah sayap itu Kau beri dalam saiz apa-apa pun. tapi jika Kau tidak keberatan, aku mahu saiz M. saiz S mungkin tidak mampu menanggung timbangan badan aku yang rasanya pemberatnya hanyalah tulang-belulang dan sembiluan perih yang aku minum tiap hari."


aku buka mata.
toleh ke belakang.
masih, sayap itu tidak tumbuh.


sekali lagi, aku pejam mata. rapat dan tegang.
doa kuat-kuat dalam hati.
doa yang sama.


kemudian, aku buka mata, toleh ke belakang.
masih, masih, sayap itu tidak tumbuh.


sekali, sekali lagi dan untuk kesepuluh kali berikutnya,
aku pejamkan mata,
doa kuat-kuat dalam hati.
baris, bait, patah, doa yang sama.
dengan idgham, izhar halqi dan iqlab yang sama.


lalu, aku buka mata, toleh ke belakang.


oh Tuhan, kenapa aku rasa kecewa?
oh Tuhan, akankah Kau laknat aku kerna mempertikai hasil ajaib invensi Kau?

No comments:

Post a Comment