Kelakar.
Kelakar yang telah lama hilang tiba-tiba datang dengan egoisnya meminta semula Ketawa yang telah aku bakar dan abunya aku tabur di kaki Gunung Sumalayang. Bila aku kata Ketawa sudah tiada lagi dalam simpanan aku, dia mengamuk hempas meja hempas kerusi kerana tidak percaya. Katanya, mustahil! Katanya dia cukup kenal aku untuk tahu yang aku ini seorang yang amanah dalam hal-hal simpan-menyimpan. Tak mungkin sesuka hati semudah itu aku buang sesuatu yang berharga. Kelakar bertindak nekad melaporkan pada Ketua Rela Kampung yang aku telah menculik Ketawa darinya. Haih... Kelakar, Kelakar, kelakar betul kau ini.
Ketawa.
Ketawa sangat sedih. Sudahlah selama tiga tahun dibabikan oleh Kelakar, Ketawa telah dicampak hina di depan rumah aku. Waktu itu, keadaan Ketawa sangat menyayat hati. Bajunya rabak sana-sini, seluarnya sangat pendek seperti digigit anjing dan hanya berkaki ayam. Wajahnya comot diconteng arang kayu bakau. Rambutnya kusut seperti sudah sepuluh tahun tidak dilumur minyak kelapa. Air matanya meleleh tak henti-henti, berhari-hari, berbulan-bulan hinggalah cukup setahun tiga bulan tujuh hari lima jam, Ketawa tak bangun subuh walaupun sudah aku simbah sebaldi air perigi. Ketika itu, aku sedar Ketawa sudah tiada.
Aku dan Ketawa.
Kami adalah kawan baik. Tidur sebantal, makan sepinggan. Bila Ketawa buat pengakuan pada malam Awal Muharram yang dia sudah menerima Kelakar, aku sedikit terkejut tapi tidaklah terus membangkang. Aku tanya Ketawa adakah dia benar-benar pasti Kelakar orangnya? Dia kata dia pasti bahawa hingga mati Kelakarlah raja dihati. Jadi, aku tak punya pilihan lain selain dari menyokong, kan?
Kelakar, Ketawa, Aku dan Ketua Rela Kampung.
Dipendekkan kisah. Ahh.. Kamu pun sudah tahu kan penamatnya? Kelakar sampahkan Ketawa lalu dipulangkan ke Aku dengan tanpa belas. Ketawa meratap makan hati hingga ke mati. Aku pula terpaksa berlakon dengan Ketua Rela Kampung yang juga terpaksa berlakon menyoal-siasat aku atas tuduhan tak rasional yang dilempar Kelakar. Ini sajalah perkara baik yang mampu Aku dan Ketua Rela Kampung lakukan setiap hari untuk Kelakar yang sedang meniti hari-hari terakhir hidupnya. Dia telah didiagnos dengan penyakit gila talak peringkat akhir. Tiada harapan untuk diselamatkan lagi.
Kamu.
Hargai mereka yang disisi. Sayangi mereka yang peduli.
No comments:
Post a Comment