Hello, gila.
Sebelum kau dan kau dan dia dan dia mula panggilkan aku seorang gila, aku adalah perempuan yang terpaling mahal di kampung ini dan tidak ada seorang pun bujang atau duda yang mampu untuk menawan cintaku.
And so said my father when he was asked by the villagers why am I still not married?
Tapi sebenar-benarnya adalah kerana setiap sesuatu yang disentuh aku pasti terbakar dipanah halilintar. Maka mana ada yang ingin mendekat?
Dan hari itu, petang hampir ke Maghrib, bila dia datang bertemankan pegawai-pegawai istana dan sekalian bala tentera siap badannya berperisai kayu, ayah terus tersenyum puas dan lega sebab dia tak perlu lagi menebal muka menambah dosa menipu orang-orang kampung yang sepertinya bisa mati mengejut jika sehari tidak mengata perihal rumahtangga keluargaku.
Hari itu, pagi pertama setelah walimatulurus, dia tiada. Dia tiada di sebelahku. Pegawai-pegawai istana dan sekalian bala tentera berperisai kayu juga telah tiada.
Aku keluar, ayah meluru memeluk aku. Meminta maaf.
Bahawasanya telah ayah gadaikan segala jed, jongkong-jongkong emas, pasu-pasu purba, demi untuk menyogok dia yang sebenarnya bukanlah si putera raja tetapi seorang perompak yang punya ilmu buat mengakhirkan sumpahan itu dengan mengeluarkan mutiara yang telah terperangkap dalam tubuhku semenjak bayi yang boleh buat segala syaitan-jin tunduk bersujud pada kaki yang memilikinya.
Bahagia aku yang tidak terkira, akhirnya tangan ini bisa menyentuh. Berlari aku ke pekan dengan tangan tidak berhenti menyentuh. Pokok, air sungai, rumput, lembu, kambing biri-biri, epal, delima, sutera, mangkuk, terung, bakul, besi, emas dan segala apa saja yang terpandangkan.
Puas, tangan ini dahaga pula menyentuh tubuh manusia. Kepingin merasa halusnya kulit manusia, kedutan-kedutan pada wajah tua, lembut urai rambut, comel jari-jemari. Maka pada tiap tubuh yang melintas, tangan ini tanpa aku sengajakan dan tanpa niatkan, tanpa sempat pun aku fikirkan baik atau buruk, laju terus bergerak menyentuh mana saja yang tersampaikan.
Dan entah kenapa, aku ditampar, diterajang, diludah, dibaling batu, dipulau, dijauhkan, dipekik-pekik, diseranah dan digelar seorang gila hanya kerana ingin merasa nikmat yang tidak pernah aku rasa seumur nyawa, sentuhan?
No comments:
Post a Comment