Penculik Separuh Masa

Sesaat selepas mata tercelik, aku memandang sekeliling bilik.
Kosong.
Senyap.
Diam.
Sunyi.


Mana dia si arjuna yang begitu teruja menyanyi untukku?
Mana pergi si kekasih yang bergemersik menggegar malamku dengan getaran gitarnya?


Aku bangkit dari katil,
dengan selimut yang masih lagi terbelit di antara kakiku.


Langsir putih yang sudah lusuh, yang sudah tiga puluh peratus reput itu, aku sisirkan ke kanan jendela.


Membenarkan cahaya sang mentari gagah menerobos masuk, menyelinap ke tiap ruang dan rongga yang bolos dan rompong.


Dia sudah pergi!
Dia sudah pergi!
Dia sudah pergi!
Teriak benakku.


Dan, seperti semalam, kelmarin dan sepuluh tahun yang lepas,
aku bangkit, membersih diri, bersiap lalu, memandu perlahan ke kantor.


Dan, bila siang meleret pergi, seperti semalam, kelmarin dan sepuluh tahun lepas,
aku, dengan senyap-senyap,
culik dia dari syurga,
buat menemaniku mengharung kejam malam.

No comments:

Post a Comment