Aku tak pasti adakah aku ini benar-benar stabil emosinya atau pura-pura stabil kerana perkataan stabil itu sendiri tidak pernah aku pasti apa ertinya dan dalam keadaan yang bagaimana boleh aku aplikasikan perkataan itu.
Mood yang semakin pantas dari merudum terus menjunam sangat menakutkan aku dan sendirian aku berperang bermati-matian menyelamatkan jiwa dan hati dari terus dicengkam syaitan-syaitan jahanam.
Dan kerana itulah rancangan untuk mengharungi cuti tiga hari yang aku rasakan seperti tiga minggu aku rangkakan lengkap dengan peta, maklumat dan perbelanjaan yang akan dikeluarkan termasuk makan, tiket dan pengangkutan.
Mungkin ada betulnya bebelan kawan dan sepupu. Ketidakstabilan emosi ini berpunca dari kelalaian dan kemalasan aku sendiri untuk keluar bersosial, melawat tempat-tempat baru dan bertemu wajah-wajah baru.
Tiada orang lain yang mampu menyelamatkan aku. Selain diri aku sendiri. Dan atas kemahuan aku sendiri.
Selamat Tahun Baru.
No comments:
Post a Comment