Sembilan Adam

1
Ada rindu yang aku cari.
Ada kasih yang aku mahu.
Ada cinta yang aku perlu.
Betapa aku diajar oleh semua mereka bahawa setiap yang Hawa, pasti ada Adamnya.
Tetapi sehingga kini kenapa masih aku sendiri?


2
Ya.
Telah aku temui Adamku.
Telah aku jamahi rindu, kasih dan cinta yang dicari.
Telah aku nikmati indahnya pahala halal bersentuhan.
Tetapi Tuhan, kenapa sebentar cuma bahagia itu aku dampingi?
Terlalu sebentar hingga tidak sempat kami tua bersama?


3
Hey!
Percayalah bila aku katakan bahawa tanpa Adam, tanpa cinta, tanpa kasih, tanpa rindu kau masih boleh bahagia.
Malahan mungkin jauh sejuta kali lebih bahagia.
Bahagia bersama Adam itu hanyalah tempelan dongeng.
Ejek-ejek realiti mentertawakan mimpi.
Bahagia itu umpama percikkan bunga api yang cantiknya hanya beberapa denting.


4
Tanpa Adam.
Biar sekadar dalam mimpi dan angan,
tanpa cintanya, tanpa kasihnya secara nyata,
biarpun sesat di dalam khayalan sendiri,
sudah cukup untuk buat aku rasa bahagia setiap saat selagi bernyawa.


5
Tangan ini.
Tangan ini yang mengusir bahagia.
Tangan ini yang lebih dulu melepaskan pegangan cinta dan kasih.
Tangan ini yang menolak dakapan rindu.
Mungkin dia bukan Adam yang aku cari.
Mungkin dia bukan Adam yang dipilih Tuhan untuk aku.
Mungkin aku bukan Hawa yang akan bengkok buat mengisi kosong rusuk kanannya.
Mungkin di luar sana, ada Hawa yang jauh lebih sempurna untuknya.


6
Aku yakin dia Adam aku.
Aku yakin dia jodohku yang dimahu Tuhan.
Aku yakin dia adalah setiap segala yang aku cari dalam seorang Adam.
Aku yakin kepada dialah aku serahkan kunci jiwa-raga ini.
Aku yakin selepas ini malam-malamku tidak akan lagi diusik sunyi.
Aku yakin selepas ini, setelah sah akad dilafaz, mimpi-mimpiku takkan lagi disindir angan-angan kosong.


7
Adam.
Adam!!!
Adam, sungguh langsung tidak aku mengerti, sebenar-benarnya apa ingin kamu?
Sudah kontang cinta dan kasih aku limpahkan ke jiwa kamu yang haus itu namun, masih tidak mampu aku pakukan hati kamu untuk hanya ke aku. Masih tidak berjaya aku tawan rindu kamu.
Adam! Pandang aku. Pandanglah aku!!


8
Semakin ranap jiwaku.
Semakin memudar rohku.
Harapan untuk ketemu Adam sudah lama kubiar mati.
Harapan untuk lemas dalam kebahagaiaan halal telah aku bakar dengan nafsu-nafsu keduniaan.
Apa lagi yang tinggal?
Berapa banyak lagi kilauan suci Hawa yang masih mengiringi aku?
Sungguh wahai Adam, aku ini sisa cuma.


9
Seraya petir berdentum, sepantas kilat aku berlari dengan berperisai baju besi dan pedang sakti untuk berdiri di hadapan Adam.
Takkan ada satu pun yang aku benarkan menyakiti Adam.
Mari!
Mari sini apa saja!
Jika Adam yang kau mahu, bunuh aku dulu! 

No comments:

Post a Comment