Christina Yang Bukan Izzie Stevens

Puas berkira-kira, akhirnya aku keluar juga dengan kawan aku tu.

Ya.
Diri ini tidaklah sekuat mana. Walau ada sebahagian dalam jiwa yang ingin benar memutus persahabatan, sebahagian lagi masih begitu teguh menyayangi kenangan kami bersama.

Dia terlewat.
Tapi, kali ini, tidaklah dia terlewat hingga 2 jam yang sudah menjadi kebiasaannya. Cuma 15 minit.

Aku dan dia duduk dan makan di KFC, KL Sentral.
Berbual hebat, laju kami berkongsi kisah masing-masing.
Dan, topik utama adalah kahwin dan kekasih.

Dimintanya aku untuk berubah.
Jadi lebih "happening".
Bersosial (dengan lelaki) dengan lebih kerap.
Dengan cara itu, pastinya aku akan peroleh ramai kawan dan kekasih. Teori tembak dua burung dalam satu masa.

Aku sambut permintaannya dengan senyum sumbing dan kepala mengangguk-angguk. Tapi, dalam hati, ingin saja aku belah otaknya dan tanam kenyataan yang bukan semua individu itu sama. Aku tidak sama dengan dia. Aku tidak sama dengan sesiapa pun. Tidak ada satu pun individu dalam dunia ini yang sama.

Aku ini virgo.
Mendung.
Melankoli.
Mahal senyuman.
Setia.
Pendiam.
Tidak mudah mesra.
Was-was.

Aku ini sedingin dan sekerasnya bongkah ais di kutub utara, yang akan cair jika panas cahaya pancaran sang mentari terus-terusan menembak tepat ke arahku.

Aku perlu masa.
Untuk orang-orang yang baru dikenal, aku perlukan masa untuk mesra, rapat dan percaya pada mereka.
Mungkin sebab itulah, aku ini sukar mendapat kawan baru. Terlalu sulit untuk didekati.

Aku tidak pandai berpura-pura.
Pura-pura periang dan peramah.
Pura-pura manja dan comel.
Zaman aku seorang plastik, sudah berkurun aku tinggalkan di pintu pagar sekolah menengah.

Walau bagaimana kompleks pun aku,
jika lelaki itu menyintai aku,
terimalah aku seadanya.

Hah.

Aku minta lelaki untuk terima aku seadanya tapi, aku sendiri tidak boleh terima lelaki seadanya. Ada saja yang kurang, ada saja yang tak sedap dipandang mata, ada saja yang tak berkenan.

Aku mengaku, aku tamak.
Aku mahu satu pakej.
Aku mahu lelaki itu lengkap dengan segala ciri, sifat dan sikap yang aku idamkan.
Mana-mana yang tidak penuhi syarat kelayakkan, aku tolak mentah-mentah tanpa sesaat pertimbangan pun.

Setelah konflik menyeksa dan cinta disampahkan, aku mula rasa aku berhak dapat yang lebih baik. Yang lebih lengkap. Yang lebih sempurna di mata aku.

Atau sekurang-kurangnya pun, yang bisa buat aku tersenyum setiap hari.

No comments:

Post a Comment