Platinum Di Jari Dia

Di dalam tren, aku nampak dia.

Dia.
Seorang lelaki yang sudah lama aku perhatikan dari jauh. Dia tidaklah terlalu tampan. Pakaiannya juga bukan berjenama. Kemejanya sentiasa yang rona putih, krim, jingga lembut atau kuning susu. Air mukanya sering kosong. Rambutnya jarang-jarang. Misainya juga jarang-jarang. Dia sederhana.

Berdiri di hadapan dia, seorang perempuan separas dada. Berbaju kurung biru kundang dengan tudung warna sedondon. Bibirnya merah hasil contengan gincu jenama tiruan. Wajahnya putih dibedak tebal. Kasutnya bertumit satu inci. Pasti, kasut murah. Bawah RM15. Beg tangannya kecil, warna hitam. Pasti, beg murah. Paling mahal pun RM20.

Si lelaki tarik badan perempuan itu berdiri rapat dengannya, untuk beri ruang pada manusia-manusia lain masuk ke perut tren. Perempuan itu tersenyum menjeling si lelaki. Si lelaki senyum kecil. Kedua-duanya merenung keluar tren dengan riak wajah paling bahagia.

Sial!

Tiba-tiba, kepala aku jadi panas.
Hati bengang.
Tangan seperti mahu menampar orang.
Jiwa mahu membunuh orang.

Jari manis di tangan kanan perempuan itu bersinar penuh bongkak sebentuk cincin platinum. Jari manis di tangan kanan lelaki itu berkilau seindah bintang di tengah supernova sebentuk cincin platinum. Cincin platinum yang sama bentuk dan sama rekaan. Ahh.. Logiklah kan kenapa mereka begitu berani mempamer kasih sayang di mata khalayak.

Tiap kali pintu automatik tren terbuka di setiap stesen, kaki dan tangan aku menggigil mengikut rentak adrenalin yang sedang membuak-buak dalam diri aku.

Aku mahu tolak perempuan itu keluar! Aku mahu tolak perempuan itu keluar hingga dia terjatuh ke landasan lalu digilis tanpa belas saat tren menyambung perjalanannya. Aku mahu lihat otak perempuan itu pecah bertaburan, darahnya memercik merata. Aku mahu dia terus mati di situ juga, tanpa sempat pun si lelaki itu pergi mendapatkannya dan mengucap perkataan cinta buat kali terakhir.

Dibanding dengan aku, rupa paras aku jauh ke depan dari perempuan itu. Kesedaran fesyen aku jauh, jauh, jauh lebih baik dari perempuan itu. Baju kurung corak bunga dengan tudung corak geometri? Gilakah? Belum lagi aku sentuh bab jenis bedak apa yang dia tampal di seluruh permukaan wajahnya. Itu tepung atau bedak sejuk?

Hah.

Jangan kata kau tak pernah berperasaan begini.
Jangan cakap tak pernah terlintas dalam diri kau bahawa perempuan yang sedang dampingi lelaki idaman kau itu lebih cantik dan bergaya dari kau.
Jangan cakap yang kau tak pernah rasa kau jauh lebih sempurna dari perempuan itu.
Jangan kata kau tak pernah terfikir yang kau lebih berhak memiliki lelaki itu.

Aku, kau, kita semua, terdesak untuk mendapatkan seseorang.
Seseorang yang kita ingin tidur dan bangun bersama. Seseorang yang boleh kita tumpahkan kasih sayang yang telah lama tersimpan dalam hati.

Seseorang yang memeluk kita saat seluruh dunia menidakkan kewujudan kita.
Seseorang yang ambil cuti kecemasan bila kita demam teruk.

Seseorang yang akan pegang tangan kita walau setiap inci kulit dijangkit kusta. Seseorang yang kita sanggup renangi lautan api dan harungi hutan berbisa, demi untuk bernafas di lingkungan udara yang sama dan berpijak pada bumi yang sama.

Dan itu, kawanku, namanya CINTA. Kalau sudah cinta, tetap akan cinta. Samada terpaksa merampas kepunyaan orang lain atau terpaksa merayu menyembah atau dipisahkan oleh benua atau terpaksa buang emak buang saudara atau sanggup dipukul bantai setiap hari, cinta tetap cinta.

Cinta itu subjektif.
Terserah pada diri untuk menafsir.
Dan, jangan kau hakimi tafsiran orang lain.
Mereka punya hak. Hak yang sama dengan kau.

No comments:

Post a Comment