Hari Ini Dia Berkemeja Gelap Bergaris Halus Dan Seluar Rona Pastel

Dan, bila dia melangkah masuk ke kantor, dengan wajahnya bercahaya gembira, dimatanya dan disenyumannya, betapa dadaku disarangi kegirangan terlihatkan dia sebegitu.


Dan, oh Tuhan, betapa aku menggantung harapan tinggi melangit bahawa kegembiraan itu berpuncakan dari aku.


Hari ini, hari lahirnya.
Hari ini, hari ulangtahunnya.


Kau tahu apa yang aku angankan sepanjang hari ini?


Aku angankan, aku bawa dia ke Port Dickson.
Melangkah tanpa kasut menuju jeti di belakang Royal Yatch Club.
Berpegangan tangan, memijak pasir-pasir putih. Bersama, mengelak semalu nakal.


Lalu, kami duduk di bangku di atas jeti itu. Melihat manusia-manusia lain yang sedang leka mengawal joran. Sesekali, dia tertawa kuat dengan tingkah manusia-manusia itu. Aku pun ikut tertawa. Tertawa bahagia kerna diberi kesempatan untuk berada di sebelahnya.


Sang mentari pun mula meleret pergi. Membenarkan tabir pekat malam berlabuh, mengizinkan sang bulan meminjam keindahannya. Saat langit mula jingga, dia menoleh arahku. Tersenyum.


"Hadiah tak ada kah?", tanyanya perlahan. Sungguh, dia buat jantungku luruh, jatuh ke dalam laut!


"Ini tak cukup kah?", jawabku, mengawal sedikit suaraku. Takut dia terkesankan cemas pada diriku.


"Tak.", katanya sambil menggeleng. Aduh! Comel benar dia ini!


"Jadi, kamu mahu apa?"


"Kamu."


"Aku?"


"Ya. Kamu. Aku mahu kamu menyintaiku secara nyata. Aku lebih dari bersedia untuk menjadi milikmu sepenuhnya!"


Ya!


Itulah yang aku angankan waktu sedang menghadap lembaran kerja Excel. Itulah yang aku angankan waktu sedang menekan-nekan bebutang di mesin fotokopi. Dan, itulah yang aku angankan waktu melintas depan biliknya.


Tuhan, benarkan aku menyintainya secara nyata! Tolong Tuhan, izinkan aku menikmat cintanya walau cuma sekelip mata!


Kalau dia bukan jodohnya aku, kenapa Kau tapakkan cintanya dalam diriku?
Kenapa Kau torehkan namanya begitu dalam hingga darahnya mengalir tanpa henti?
Kenapa Kau siksa aku dengan pengharapan untuk memilikinya?

No comments:

Post a Comment