Langit hari ini tersangat indah.
Bukan!
Luarbiasa indah!
Aku berkira-kira. Adakah hari ini Aidilfitri?
Atau adakah hari ini hari pertama musim bunga?
Tidak. Hari ini hari biasa.
Sama seperti semalam dan kelmarin.
Tapi, aku masih termanggu sendirian, di tepi besi balkoni apartmenku.
Kenapa ya, langit, luarbiasa indahnya hari ini?
Latarnya tona lembut merah keputih-putihan. Warna sangat serata. Dari hujung kiri ke hujung kanan.
Carik-carik magenta dengan kadar sangat minima berserakkan di segenap pelusuk latarnya. Cariknya melintang, sekata. Pasti dilarik satu arah saja.
Merah garang juga ada. Ia berbentuk garisan yang tebalnya mungkin satu sentimeter. Aku bilang, cuma ada tujuh garisan itu. Apa maksudnya?
Gores-gores merah kesumba dijalurkan dengan begitu kasar. Seperti sedang diamuk amarah atau kelancaran hidup harian terganggu. Ataupun mungkin sedang digalau rindu yang amat dalam. Aku tak pasti.
Akhir sekali, ada tompok-tompok kecil putih, comel, tapi sayang, tiada segi atau bentuk yang dapat aku bandingkan buat diperjelas pada kamu.
Ketika langit menjadi luarbiasa indah, pada ketika yang inilah, aku berdoa-doa pada Tuhan. Agar waktu dihentikan dari terus berlangsung.
Aku mahu terus terperangkap dalam keindahan ini. Aku mahu terus termanggu, cuba menafsir erti tiap carik, tiap warna yang tersergam megah ini. Aku mahu terus berdiri, di tepi balkoni apartmenku ini, tanpa perlu memikir soal bagaimana aku akan meneruskan hidup selepas ketika ini.
No comments:
Post a Comment