Dan pabila sang kupu-kupu itu minta sayapnya diwarnai seindah rama-rama, sekalian sudut hutan itu hingar dengan hilai tawa dan pekik-pekik sinis oleh makhluk-makhluk lain yang dirasakan sang kupu-kupu amat beruntung kerna semulajadi diciptakan nian mempesona tapi satu kali pun tidak pernah dipanjat syukur atau terima kasih pada yang mencipta.
Maka pergilah sang kupu-kupu, melebar sayap lalu terbang entah ke mana sehingga hilang tanpa selayang pun khabar dikirim.
Terakhir yang dibawa angin adalah khabar bahawa jiwa dan hati sang kupu-kupu terlalu hancur dan dirinya terasa tersangatlah malu untuk berdepan dengan khalayak di hutan itu, dia benarkan deras taufan menerbangkannya ke mana saja dan di mana saja taufan itu berhenti, maka disitulah kehidupannya diteruskan.
Ketahuilah wahai sang kupu-kupu, bahawasanya kami juga, sekalian manusia, hidup dengan impian kehidupan yang dipinjam dari manusia lain.
No comments:
Post a Comment