Selamat Hari Lahir, Sayang!


Bila malam seakan musuh, siang tidak mahu dilepas pergi dengan mudah. Sekerasnya suara ditempik buat menahan siang dari meninggalkan, sehabis kudrat belulang dikerah buat memaut mana sahaja bahagian siang yang tercapaikan. Rona langit yang makin menguning, terus menjadi jingga, seperti itulah degup jantungku berdetak, perlahan perlahan perlahan laju laju makin laju makin laju deras deras deras, hanya kerana tabir siang sudah dilitup malam.

Pada tiap bunyi-bunyi kecil yang tiba-tiba mencuit gegendang telinga, pantas badan ini tegak, memasang telinga dengan jemari mencari-cari senjata, buat melibas apa saja kemungkinan yang bakal menerjah. Derap-derap selipar yang bertempiaran ke sana sini buat aku berhenti dari segalanya dan lekas memegang besi panjang atau pisau tajam. Selimut ditarik hingga ke pangkal telinga, dengan mulut tanpa henti kumat-kamit kalamullah, mohon Tuhan lindungi aku untuk harungi malam ini.

Inilah yang aku rasa setiap hari setiap malam. Mereka kata aku sedang trauma.

Untuk seminggu, aku hanya bisa menangis. Fikiran jadi buntu bila saja siapa saja ingin berbincang dengan aku berkenaan hal itu. Sendiri, dengan badan separa demam, melihat lubang besar di pintu belakang, pakaian diselerakkan dan terpaksa menunggu beberapa jam, sendirian, hingga saudara datang meneman, aku rasa itulah waktu yang tersangatlah menyeksakan dan perlahan sungguh berlalu. Gelap malam makin menambah ketakutan, perasaan ini pun ingin bergurau kejam dengan membuat mindaku terbayangkan kelibat melintas di pintu depan dan belakang. Kelibat si pencuri.

Sehebat ini aku diuji. Di atas tanah milik negeri kelahiranku. Bukan dirantau persekutuan. Dengan berderet saudara-mara dan kenalan menghuni berhampiran yang ketika kejadian itu berlaku semuanya tiada di rumah, aku sebatang kara di situ, di hadapan pintu, menggigil tangan hendak membuka mangga pintu dan memulas tombol.

Mungkin aku tidak cukup bersyukur. Mungkin ini balasan atas sujud-rukuk wajib yang aku alpa. Mungkin situasi ini pengukur siapa yang akan sanggup bersama saat sedih. Mungkin untuk menyedarkan kecuaian diri sendiri. Mungkin ini cara Tuhan memberitahu yang Dia kasihkan aku.

No comments:

Post a Comment